Mukadimah
Sesetengah cerita lisan yang ku dengari, Aku hanya angguk dan pekakkan telinga. Manusia penuh dengan tokok tambah, dan tidak 100% jujur. Tatkala cerita sebenar diberitahu, tiada yang akan peduli; kerana kisah lama sudahpun menjadi lagenda, meskipun ianya dusta.....
Perginya Membawa Janji
Di sebuah kawasan perkampungan yang digelar penduduk Tanjung Kelana, tinggallah sebuah keluarga yang sangat miskin. Hidup mereka daif, ibarat berkais baru makan. Alkisah sang ibu bernama Si Deruma , bersuamikan Si Talang. Anak bongsu mereka bernama Si Tanggang, kacak paras rupanya. Tutur katanya sopan santun malah suaranya juga lembut didengar.
Gambar hiasan |
Pada suatu hari, tatkala sedang menjala ikan, dengan takdir Allah, tiada seekor ikan pun yang berjaya ditangkap Si Temenggung. Jiwa mudanya membara. Dia sudah lama berjemur menanti hasil. Hatinya mula terdetik bosan dengan kehidupan daif ini. Dihempasnya air lautan barang terbakar hatinya, lalu mudiklah dia semula ke pinggiran. Dilihat Si Temenggung oleh adiknya yang sedang memanjat pokok kelapa, lalu disapanya dengan sopan.
"Apakah gerangannya yang mengganggu perasaan abang, ceritalah sama Tanggang".
"Kau tahu Tanggang, aku dah mula rasa bosan dengan kehidupan kita ini. "
"MashaAllah, kenapa abang cakap begitu pula?"
"Sudah hampir sepurnama aku mula menjala, paling tidak ada juga 3-4 ekor ikan. Ini, barang anak ikan pun tak kena."
"Alah, itu cuma ujian dari Tuhan saja, abang janganlah cepat sangat mengalah"
"Ah kau ni tak habis-habis dengan ujian, lagi-lagi ujian. Aku dah muak dengan semua ni. Aku ada bercadang nak keluar kampung kita ni Tanggang"
"Ke..keluar kampung?!Tak mungkin! Abang nak ke mana pula??"
"Aku mahu bekerja di bawah sultan, dapatlah aku mengumpul harta lalu menjadi kaya raya. Akan ku tujukan hasratku ini pada ibu dan ayah"
"Benarkah begitu abang?Kalau begitu, izinkan juga Tanggang mengikut abang. Biar kita sama-sama berbakti pada ibu dan ayah. Biar kita merasa hidup senang.
Mereka berdua pulang ke teratak buruk mereka lalu menceritakan hasrat mereka yang terpendam itu pada Si Talang dan Si Deruma sewaktu makan malam. Namun, ibu dan ayah mereka tidak mengizinkan mereka pergi kerana rasa sayang yang tidak terbendung. Si Temenggung tidak puas hati. Kudratnya rasa terbazir. Pisang salai kegemarannya dan Tanggang terasa pahit. Dia tidak dapat tidur dengan tenang malam itu.
Gambar hiasan |
Keesokan harinya, Si Tanggang terus memanjat pokok kelapa seperti biasa. Dan Si Temenggung sedang menyirat jalanya yang koyak. Arakian, mereka terpandang sebuah bahtera yang amat besar sedang belayar menuju pesisiran. Kedua-duanya terkesima; tidak pernah dilihat mereka sesuatu yang sebesar itu seumur hidup mereka. Si Temenggung pantas menduga. Hatinya kuat mengatakan itu mesti bahtera sultan. Lalu cepat-cepat dia menolak sampannya ke laut sambil mendayung gagah ke tengah lautan untuk
menunjukkan kehebatannya menjala.
Lain pula dengan Si Tanggang, bahtera besar itu
tidak langsung menarik minatnya. Cukuplah andai ditoleh sekejap, banyak lagi
kelapa yang perlu dpetiknya. Digugurkannya sebiji demi sebiji kelapa muda, lalu
dipanjat pula pokok seterusnya. Tidak lama kemudian, bahtera besar itu berlabuh
di teluk berhampiran mereka. Berpijak di atas kapal itu, seorang lelaki berumur
lebih pertengahan abad sedang memandang-mandang sekeliling, seperti mencari
sesuatu.
Dialah Nakhoda Awang, pelayar yang bernaung di bawah
sultan. Tidak pernah dia diberi peluang berlayar sekitar sini.
Barangkali kerana sudah tua, sultan memberi izin padanya untuk singgah di
kampung Tanjung Kelana, kampung asal-usulnya. Tatkala itu juga, nakhoda Awang
kagum dengan kecekapan dan kerajinan Si Tanggang memanjat pokok kelapa.
Terlepas pula Si Temenggung yang masih terkapai-kapai menjala ikan itu dari
pandangannya.
Terdetiklah hasrat nakhoda Awang untuk mencari
pemuda baru sebagai pengikutnya. Maka dilihat Si Tanggang sempurna sifatnya,diperhatikannya jua rajin memanjat pokok kelapa, lalu disapa olehnya Si Tanggang. Si Temenggung pula, barang dilihatnya nakhoda
Awang menyapa adiknya, berlekaslah dia ke pesisiran semula, sambil menyumpah
seranah jalanya yang koyak itu. Si Tanggang membawa nakhoda Awang singgah ke
teratak sambil diikuti oleh Si Temenggung.
Alangkah terkejutnya Si Talang dan Si Deruma
melihatkan nakhoda Awang, berpakaian ala kerabat diraja datang ke rumah mereka.
Si Talang berkata dalam tidak percaya:
"Awang! MashaAllah, engkaukah ini?! Meski berdekad berlalu, raut
wajahmu tidak akan kulupa.Sungguh kau sudah kaya benar sekarang, berbeza benar
sewaktu kita sama-sama membesar dahulu.
"Ya,ini akulah Talang, Deruma. Tak sangka di umur ini kita berjumpa
semula. Aku bersyukur pada Tuhan atas segala kurniaan-Nya ini. Aku bekerja
di bawah sultan menguruskan kutipan cukai. Dalam perjalanan, aku singgah sebentar disini. Aku pun ternampak pemuda ini sewaktu sedang
berlabuh, anak kau rupanya."
"Ya, ini Tanggang, dan di belakang itu Temenggung, anak aku.
"Oh, yalah Talang, kalau tak keberatan, aku mahu mengambil anak kau
Si Tanggang ini untuk bekerja di bawah sultan bersama-sama aku.
Telinga Si Temenggung naik merah. Mustahil! Dia lebih mahir tentang soal
perairan. Adiknya itu hanya tahu mengikut saja.
"Aku lihat dia seorang saja sanggup panjat banyak pokok kelapa
tadi. Nanti aku boleh ajarkan dia soal laut pula, nescaya dia akan mahir"
Si Temenggung tidak mahu menyerah kalah, bulan sudah jatuh betul-betul
di pangkuannya. Kaya raya-itulah yang dikejrnya selama ini. Dia juga ingin
meminta untuk mengikut nakhoda Awang, namun di pintas bapanya.
"Wahai Awang, sungguh aku begitu berat untuk melepaskan anakku ini. Bukannya aku takut dengan sejarah silam kau, tetapi aku dan Si Deruma cukup sayang akan anak-anak kami. Namun, demi kau aku rela. Kau bawalah Si Tanggang pergi, biarlah Si Temenggung yang menjaga kami berdua di
sini."
Jantung Si Temenggung seakan-akan gugur. Hasratnya
untuk kaya raya seakan diragut direntap. Dia mahu membantah, tetapi lidahnya
terkelu. Keberaniannya tersekat Dilihatnya kelibat adiknya dan nakhoda Awang
keluar dari pintu buruk teratak itu dengan perasaan yang bercampur-baur. Si
Tanggang berpusing semula, lalu bersalam dengan abangnya.
"Maafkan Tanggang abang.Tanggang janji Tanggang akan balik semula
ke sini satu hari nanti. "
Tangan Si Temenggung lembik tidak bermaya dek kecewa.
"Mak, ayah, Tanggang janji tak akan melupakan kita sekeluarga.
Percayalah, susah macam mana sekalipun, Tanggang akan pulang suatu hari nanti
berbekalkan masa depan yang baru. "
Air mata Si Deruma sudah bercucuran sejak tadi lagi.
Sudah 15 tahun dia melihat anaknya ini membesar di hadapan matanya, tidak
pernah berjauhan walaupun semalam. Dan kini, dia akan melepaskan anaknya ke
perantauan, bukannya semalam atau sepurnama, mungkin berdekad lamanya.
Gambar hiasan |
"Celaka kau Tanggang! Selagimana mengalir panas darahku ini
laksana air mendidih, selagi itulah aku akan membalas dendam atas perbuatan kau
merencatkan hasrat aku ini!Kau tunggulah Tanggang!!
Makian Si Temenggung disahut dengan guruh petir, yang seakan-akan
mengerti kepedihan batin yang sedang ditanggungnya itu. (To be continued...)
No comments:
Post a Comment