Sunday 18 November 2012

Hikayat Kekandanya Tanggang-Part 3

Meredah Mungkiran


     Langkahnya perlahan. Fikirannya kosong, entah kerana apa. Hanya bunyi tapak kaki kedengaran dari tanah perkuburan nakhoda Awang. Tidak pernah Si Tanggang kelihatan tidak bermaya seperti ini. Air mukanya ini disedari oleh Puteri Aishah, lalu disapanya dari belakang. Suara gadis yang seorang ini lunak sungguh; pantas Si Tanggang tersedar, lalu berpaling:

"Hai, kalau dahulu, muka tuan hambalah yang paling ceria; waktu pulang dari belayar mesti ada saja ceritanya. Kenapa kini laksana dilanda badai pula? Bukankah kematian itu telah difirmankan Tuhan?"
"Hamba bersedih bukan kerana nakhoda, tuan puteri. Tetapi, kerana ibu bapa hamba di kampung."
"Oh....Pasti tuan hamba amat merindui mereka, benar?"
"Masakan tidak. Sudah bertahun lamanya hamba di perantauan ini. Hamba....hamba ada bercadang untuk kembali semula ke sana....nanti" nadanya separa yakin.
"Tapi pesan nakhoda....."
"Ya! Hamba tahu! Hamba sudah berjanji! Namun, biarlah janji dimamah mungkir, asalkan hamba tidak digelar anak derhaka. Kelak nanti jarak hamba ke neraka hanyalah kematian saja." Si Tanggang meninggikan suara, tegas.

Puteri Aishah maklum tentang itu; dia juga diasuh dengan ilmu agama oleh sultan, ayahandanya. Dia buntu. Si Tanggang inilah yang banyak menemani dia dahulu, umpama lilin yang menyinari ruang sunyi jiwanya. Kini lilin itu sudah terpadam, dan dia mahu menyalakannya semula.

"Wahai Si Tanggang, untuk pengetahuan tuan hamba, dahulu ibu saya selalu menemani saya , di kamar, di taman, di mana jua. Ibu seorang yang ceria dan pandai berjenaka. Namun, ibu sudah tiada,sejak tuan hamba belum tiba lagi.
"Hamba sedia maklum dan bersimpati dengan nasib tuan puteri. Kehilangan kasih ibu pasti amat memeritkan."
"Lupakanlah kisah silam. Kalau tuan hamba nak tahu, ibu dulu sama dengan tuan hamba. Senyum tak lekang, bahasa sopan, wajah pun ada iras-iras juga. Tapi ada satu saja perbezaan."
"Ha? Perbezaan?"Si Tanggang keliru, bila tiba-tiba disamakan dengan ibu Puteri Aishah..
"Ibu saya cantik, tapi tuan hamba tak cantik. Tuan hamba ni kacak orangnya...."

Satu senyuman terukir di wajah Si Tanggang dek pujian yang tak disangka-sangkanya itu. Dah pandai pula anak dara nan seorang ni rupanya. Senyumannya sempat dilihat tuan puteri. Namun ia tidak kekal lama. Si Tanggang meminta diri, lalu melangkah laju meninggalkan kawasan taman itu. Jauh sudah mereka berjalan dari tanah perkuburan tadi rupanya. Puteri Aishah terkejut seketika, berfikir yang mungkin Si Tanggang masih dihambat kerinduan pada keluarganya. Dia pun meneruskan langkah perlahannya, menuju pulang ke istana.

     Kemurungan Si Tanggang sudah sampai ke pengetahuan sultan Ridhuan al-Usaimi. Barangkali Puteri Aishah yang mengkhabarkannya. Untuk menghilangkan rasa dukacitanya Si Tanggang; yang kini menjadi orang kanannya, Sultan telah mengahwinkan puterinya dengan Si Tanggang. Majlis mereka meriah. Ada tetamu luar yang juga dijemput. Muka kedua-duanya berseri. Bak kata ramai, kalah merpati dua sejoli.

     Si Tanggang kini sudah bergelar nakhoda Tanggang setelah dikurniakan darjah oleh sultan. Bertambah sibuk pula dirinya. Namun, dia ini insan terdidik. Tidak pernah dia merungut tentang kerja. Tidak pernah dia mengeluh penat. Senyuman dan raut wajahnya masih utuh terpapar. Hasratnya untuk menjenguk ibunya terpaksa disimpan dahulu.

     Alkisah dipendekkan cerita, telah hamillah puteri Aishah. Nakhoda Tanggang bukan kepalang gembira. Dalam hatinya, dia bakal bergelar bapa. Masuk purnama yang ke empat, Puteri tiba-tiba mengidam sesuatu.

"Kanda. Ingatkah kanda dulu kanda pernah ceritakan tentang ibu bapa kanda."
"Benar dinda. Kanda pun tidak tahu perihal mereka kini. Abang kanda pun sudah lama tidak ketemu. Kanda cuma menunggu peluang saja untuuk ke sana.
"Benarkah begitu? Sebab dinda terasa mahu pergi melawat mereka. Apa salahnya menantu melawat mentua"
"Eh? Tak perlulah dinda mahu ikut sekali. Dinda perlu banyak berehatlah."
"Kanda. Percayalah. Jikalau peluang yang kanda nanti, nescaya bulan tidak akan pernah menanti pungguk. Jadual kanda penuh dengan tugas mengutip cukai, berdagang, berlayar, pasti tiada masa. Ayahanda pasti tidak mengizinkan.
" Kanda sedar akan hakikat itu. Kanda berdoa setiap hari agar dimurahkan hati sultan untuk mengizinkan kanda singgah ke Tanjung Kelana satu hari nanti."
"Tentang itu dinda boleh uruskan. Tetapi, syaratnya dinda mahu ikut sama."

Si Tanggang agak keberatan pada mulanya. Namun, bila difikirkan semula memang benar kata isterinya itu. Dia begitu sibuk sekali. Ibu bapanya pasti sudah tua benar sekarang. Masa tidak boleh ditangguh lagi. Sekaranglah waktunya.

"Jikalau begitu kehendak adinda, baiklah. Tapi ingat, dinda mengandung, tidak boleh buat kerja berat-berat."
"Alah, kanda kan ada, tolonglah dinda banyak-banyak sikit," kata Puteri Aishah manja.
"Dinda ni macam-macamlah". Si Tanggang geli hati dengan gelagat isterinya itu.

     Sultan Ridhuan tidak keberatan dengan permintaan puterinya itu, tetapi dengan syarat mesti pulang sebelum sepurnama. Itu sudah cukup bagus buat Si Tanggang. Dia cuma mahu berjumpa sebentar dengan ibu bapanya saja; masakan cecah sepurnama. Kandungan isterinya pula baru purnama keempat, nescaya tiada masalah besar.

     Malam sebelum berlabuh, Tanggang tidak dapat tidur dengan lena. Dia bermimpi seolah-olah sedang berada di dalam kapal. Ombak begitu ganas membuai bahtera. Kamarnya terbakar. Hujan dari ribut petir belum mampu menjilat api yang marak. Seorang pemuda sedang mentertawakannya dari jauh. Entah siapa gerangannya, tetapi dia tidak mahu mempedulikan semua itu. Di manakah Puteri Aishah? Itu yang lebih mustahak. Zuriatnya, kasihnya, maruahnya pada sultan terletak pada Puteri. Puas dia  mencari sekeliling kapal. Api makin marak. Pandangannya pula makin kabur. Tanggang tidak mampu lagi bertahan. Dia melutut kepenatan tercungap-cungap. Kepanasan bahtera menewaskannya. Hanya hatinya saja yang mampu menjerit. Dinda dimana!! Dinda!!!.........

      Si Tanggang tersentak dari lamunan ngerinya. Peluh membasahi diri. Puteri Aishah masih di sebelah, nyenyak tidur. Kecantikan isterinya itu sedikit sebanyak melegakan hatinya. Barangkali banyak dugaan yang bakal ditempuhinya nanti. Diusap wajah isterinya itu, lalu dia berdoa, semoga dipermudahkan urusan perjalanannya esok hari.    

     Petang keesokan harinya, Nakhoda Tanggang mempersiapkan bahteranya untuk berlayar ke tanah asal-usulnya. Sudah lama dia tidak melihat barisan pokok kelapa yang suatu ketika dulu menjadi sasarannya memetik buah kelapa. Sudah lama dia tidak merasai turun naik deru ombak di Tanjung Kelana sepertimana dahulu dia bersama-sama abangnya menongkah arus menjala ikan. Diiringi lambaian dari penduduk kampung, sauh diangkat dan bahtera pun perlahan-lahan berlalu pergi. 

     Nakhoda Tanggang menggenggam sangkar burung utusan yang dikurniakan sultan sambil memerhatikan khalayak ramai yang semakin mengecil dari pandangannya. Dia teringat akan mimpinya semalam. Suara lelaki yang mentertawakannya masih terngiang-ngiang. Namun, semua itu disimpannya dari pengetahuan sesiapa. Mimpi dan duniawi sebenar tiada berjambatan. Seakan-akan hilang sayup bunyi orang ramai, hatinya bersuara gusar:

"Maafkan hamba nakhoda Awang. Kali ini, janji bersamamu terpaksa kumungkiri...."   
  (To be continued....)



   
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...