Thursday 25 October 2012

Hikayat Kekandanya Tanggang-Part 1

   Mukadimah

     Sesetengah cerita lisan yang ku dengari, Aku hanya angguk dan pekakkan telinga. Manusia penuh dengan tokok tambah, dan tidak 100% jujur. Tatkala cerita sebenar diberitahu, tiada yang akan peduli; kerana kisah lama sudahpun menjadi lagenda, meskipun ianya dusta.....


Perginya Membawa Janji

  Di sebuah kawasan perkampungan yang digelar penduduk Tanjung Kelana, tinggallah sebuah keluarga yang sangat miskin. Hidup mereka daif, ibarat berkais baru makan. Alkisah sang ibu bernama Si Deruma , bersuamikan Si Talang. Anak bongsu mereka bernama Si Tanggang, kacak paras rupanya. Tutur katanya sopan santun malah suaranya juga lembut didengar.
   
Gambar hiasan
     Seorang lagi anak pasangan ini ialah Si Temenggung, berbadan sasa dan tegap, dan tegas jua orangnya. Tua Si temenggung lagi 3 tahun dari Si Tanggang. Meskipun kedua-dua mereka baru berumur belasan tahun meniti alam remaja, kesukaran hidup memaksa mereka berdua bekerja, mengambil upah menenun, memetik kelapa-apa2 saja asalkan mendapat upah.

     Pada suatu hari, tatkala sedang menjala ikan,  dengan takdir Allah,  tiada seekor ikan pun yang berjaya ditangkap Si Temenggung. Jiwa mudanya membara. Dia sudah lama berjemur menanti hasil. Hatinya mula terdetik bosan dengan kehidupan daif ini. Dihempasnya air lautan barang terbakar hatinya, lalu mudiklah dia semula ke pinggiran. Dilihat Si Temenggung oleh adiknya yang sedang memanjat pokok kelapa, lalu disapanya dengan sopan.

"Apakah gerangannya yang mengganggu perasaan abang, ceritalah sama Tanggang".
"Kau tahu Tanggang, aku dah mula rasa bosan dengan kehidupan kita ini. "
"MashaAllah, kenapa abang cakap begitu pula?"
"Sudah hampir sepurnama aku mula menjala, paling tidak ada juga 3-4 ekor ikan. Ini, barang anak ikan pun tak kena."
"Alah, itu cuma ujian dari Tuhan saja, abang janganlah cepat sangat mengalah"
"Ah kau ni tak habis-habis dengan ujian, lagi-lagi ujian. Aku dah muak dengan semua ni. Aku ada bercadang nak keluar kampung kita ni Tanggang"
"Ke..keluar kampung?!Tak mungkin! Abang nak ke mana pula??"
"Aku mahu bekerja di bawah sultan, dapatlah aku mengumpul harta lalu menjadi kaya raya. Akan ku tujukan hasratku ini pada ibu dan ayah"
"Benarkah begitu abang?Kalau begitu, izinkan juga Tanggang mengikut abang. Biar kita sama-sama berbakti pada ibu dan ayah. Biar kita merasa hidup senang.

     Mereka berdua pulang ke teratak buruk mereka lalu menceritakan hasrat mereka yang terpendam itu pada Si Talang dan Si Deruma sewaktu makan malam. Namun, ibu dan ayah mereka tidak mengizinkan mereka pergi kerana rasa sayang yang tidak terbendung. Si Temenggung tidak puas hati. Kudratnya rasa terbazir. Pisang salai kegemarannya dan Tanggang terasa pahit. Dia tidak dapat tidur dengan tenang malam itu.

Gambar hiasan
     Keesokan harinya, Si Tanggang terus memanjat pokok kelapa seperti biasa. Dan Si Temenggung sedang menyirat jalanya yang koyak. Arakian, mereka terpandang sebuah bahtera yang amat besar sedang belayar menuju pesisiran. Kedua-duanya terkesima; tidak pernah dilihat mereka  sesuatu yang sebesar itu seumur hidup mereka. Si Temenggung pantas menduga. Hatinya kuat mengatakan itu mesti bahtera sultan. Lalu cepat-cepat dia menolak sampannya ke laut sambil mendayung gagah ke tengah lautan untuk menunjukkan kehebatannya menjala.

     Lain pula dengan Si Tanggang, bahtera besar itu tidak langsung menarik minatnya. Cukuplah andai ditoleh sekejap, banyak lagi kelapa yang perlu dpetiknya. Digugurkannya sebiji demi sebiji kelapa muda, lalu dipanjat pula pokok seterusnya. Tidak lama kemudian, bahtera besar itu berlabuh di teluk berhampiran mereka. Berpijak di atas kapal itu, seorang lelaki berumur lebih pertengahan abad sedang memandang-mandang sekeliling, seperti mencari sesuatu.

     Dialah Nakhoda Awang, pelayar yang bernaung di bawah sultan. Tidak pernah dia diberi peluang berlayar sekitar sini. Barangkali kerana sudah tua, sultan memberi izin padanya untuk singgah di kampung Tanjung Kelana, kampung asal-usulnya. Tatkala itu juga, nakhoda Awang kagum dengan kecekapan dan kerajinan Si Tanggang memanjat pokok kelapa. Terlepas pula Si Temenggung yang masih terkapai-kapai menjala ikan itu dari pandangannya.

     Terdetiklah hasrat nakhoda Awang untuk mencari pemuda baru sebagai pengikutnya. Maka dilihat Si Tanggang sempurna sifatnya,diperhatikannya jua rajin memanjat pokok kelapa, lalu disapa olehnya Si Tanggang. Si Temenggung pula, barang dilihatnya nakhoda Awang menyapa adiknya, berlekaslah dia ke pesisiran semula, sambil menyumpah seranah jalanya yang koyak itu. Si Tanggang membawa nakhoda Awang singgah ke teratak sambil diikuti oleh Si Temenggung.

     Alangkah terkejutnya Si Talang dan Si Deruma melihatkan nakhoda Awang, berpakaian ala kerabat diraja datang ke rumah mereka. Si Talang berkata dalam tidak percaya:

"Awang! MashaAllah, engkaukah ini?! Meski berdekad berlalu, raut wajahmu tidak akan kulupa.Sungguh kau sudah kaya benar sekarang, berbeza benar sewaktu kita sama-sama membesar dahulu.

"Ya,ini akulah Talang, Deruma. Tak sangka di umur ini kita berjumpa semula. Aku bersyukur pada Tuhan atas segala kurniaan-Nya ini. Aku bekerja di bawah sultan menguruskan kutipan cukai. Dalam perjalanan, aku singgah sebentar disini. Aku pun ternampak pemuda ini sewaktu sedang berlabuh, anak kau rupanya."
"Ya, ini Tanggang, dan di belakang itu Temenggung, anak aku.
"Oh, yalah Talang, kalau tak keberatan, aku mahu mengambil anak kau Si Tanggang ini untuk bekerja di bawah sultan bersama-sama aku. 

Telinga Si Temenggung naik merah. Mustahil! Dia lebih mahir tentang soal perairan. Adiknya itu hanya tahu mengikut saja.

"Aku lihat dia seorang saja sanggup panjat banyak pokok kelapa tadi. Nanti aku boleh ajarkan dia soal laut pula, nescaya dia akan mahir"

Si Temenggung tidak mahu menyerah kalah, bulan sudah jatuh betul-betul di pangkuannya. Kaya raya-itulah yang dikejrnya selama ini. Dia juga ingin meminta untuk mengikut nakhoda Awang, namun di pintas bapanya.

"Wahai Awang, sungguh aku begitu berat untuk melepaskan anakku ini. Bukannya aku takut dengan sejarah silam kau, tetapi aku dan Si Deruma cukup sayang akan anak-anak kami. Namun, demi kau aku rela. Kau bawalah Si Tanggang pergi, biarlah Si Temenggung yang menjaga kami berdua di sini."

     Jantung Si Temenggung seakan-akan gugur. Hasratnya untuk kaya raya seakan diragut direntap. Dia mahu membantah, tetapi lidahnya terkelu. Keberaniannya tersekat Dilihatnya kelibat adiknya dan nakhoda Awang keluar dari pintu buruk teratak itu dengan perasaan yang bercampur-baur. Si Tanggang berpusing semula, lalu bersalam dengan abangnya.

"Maafkan Tanggang abang.Tanggang janji Tanggang akan balik semula ke sini satu hari nanti. "
Tangan Si Temenggung lembik tidak bermaya dek kecewa.

"Mak, ayah, Tanggang janji tak akan melupakan kita sekeluarga. Percayalah, susah macam mana sekalipun, Tanggang akan pulang suatu hari nanti berbekalkan masa depan yang baru. "

     Air mata Si Deruma sudah bercucuran sejak tadi lagi. Sudah 15 tahun dia melihat anaknya ini membesar di hadapan matanya, tidak pernah berjauhan walaupun semalam. Dan kini, dia akan melepaskan anaknya ke perantauan, bukannya semalam atau sepurnama, mungkin berdekad lamanya. 

Gambar hiasan
     Tatkala bahtera berlabuh, Si Tanggang melambai pada keluarganya, pada kampung Tanjung Kelana jua tanah kelahirannya. Dia begitu bersemangat untuk meniti masa depannya. Walhal, tatkala itu jugalah, hati Si Temenggung dihanyutkan bunyi ombak yang memukul bahtera sultan. Hati kecilnya memaki-maki adiknya itu  sendirian yang telah merampas haknya; yang pada hemahnya dia lebih tua dan berpengalaman untuk mengikut nakhoda Awang. 

 "Celaka kau Tanggang! Selagimana mengalir panas darahku ini laksana air mendidih, selagi itulah aku akan membalas dendam atas perbuatan kau merencatkan hasrat aku ini!Kau tunggulah Tanggang!! 

Makian Si Temenggung disahut dengan guruh petir, yang seakan-akan mengerti kepedihan batin yang sedang ditanggungnya itu. (To be continued...)

      



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...