Sunday 28 October 2012

Hikayat Kekandanya Tanggang-Part 2

Antara Dua Tanggungjawab


     Langit hujan, seolah-olah menangisi perjalanan seorang anak muda ini. Si Tanggang sendiri tidak dapat berdiri tegak- dia tewas dengan gelora ombak dan juga perasaannya yang tiba-tiba diruntun sedih. Ditekannya dalam-dalam dan tatkala itulah nakhoda Awang masuk ke dalam biliknya.

"Apakah kau tidak pernah berjauhan dengan keluargamu? Barang kulihat wajahmu menahan duka"
"Benar, nakhoda"
"Jangan risau. Aku pernah melalui saat yang sama seperti kau dahulu. Namun eraku lebih gelap dan pedih"
"Mengapakah nakhoda berkata demikian?" Si Tanggang berminat tahu.
"Ah, biarkan saja. Sekarang, kita akan mengadap sultan untuk aku perkenalkan kau pada baginda. Lagi dua malam barangkali kita akan tiba ke pelabuhan.

     Si Tanggang membiarkan saja pertanyaannya tidak berjawab. Bilamana nakhoda meninggalkan biliknya, dia pun menyandarkan badannya, lalu dibuai lena.

     Dipendekkan cerita, tibalah Si Tanggang ke sebuah pekan yang dipenuhi bahtera dan sampan, bersama-sama manusia yang turun naik daripadanya. Riuh benar suasananya, lain benar dengan kampung halamannya. Entah apa yang mereka tuturkan,ada yang iras-iras bahasa melayu, ada juga yang tidak dia fahami.

"Wahai Tanggang, selamat datang ke negeri Muara. Mari ikut aku, jangan kau hilang dalam ramai pula."
Dia menuruni bahtera tergesa-gesa mengikut nakhoda Awang, menyelit di celah-celah manusia yang mahu berdagang, menjala dan entah apa-apa lai halnya. Jauh jua perjalanan mereka ini, hinggalah sampai ke istana sultan.

      Halamannya indah dihiasi dengan pokok-pokok rendang separa tinggi. Pintu gerbangnya tinggi melangit, bersama pengawal yang memegang tombak. Tangganya dari marmar sejuk dipijak walaupun cuacanya terik berpeluh. Panjang juga istana baginda. Di dalam, ada orang sedang mengajar bahasa Arab. Di sudut yang lain pula ada yang sedang menulis, tidak kurang juga yang sedang melukis sesuatu di atas kulit binatang.

     Akhirnya, nakhoda Awang masuk ke dalam sebuah kamar yang besar. Duduknya seorang lelaki di tengah-tengah, dikipaskan oleh dua wanita di sisinya. Dia melutut lalu mengadap. Si Tanggang hanya mengikut gerak-geri nakhoda saja. Bersuara pun dia tidak mahu. Takut dikata biadab di hadapan sultan.

"Ampun tuanku beribu-ribu ampun. Sewaktu patik berhenti singgah di tanjung Kelana, patik berjumpa dengan pemuda ini Si Tanggang"
"Apa hajat kau membawanya kemari?
"Ampun tuanku. Patik berkenan dengan keberaniannya dan kerajinannya, lalu berhajat menjadikannya orang kanan patik. Izinkan patik mengajarkannya selok-belok lautan di negeri kita ini. "
"Tidakkah kamu sedar wahai nakhoda Awang yang Tanjung Kelana itu, kawasannya bersempadan pemerintahan sultan Khaidir al-Janmisi, waris kepada sultan Kamal al-Janmisi yang zalim itu. Mungkinkah ini akan menimbulkan sebarang kekhuatiran kepadanya tentang hajat kamu ini?
"Ampun tuanku. Patik berkira-kira tiadalah akan timbul apa-apa, kerana Si Tanggang ini hanyalah pemuda biasa, umurnya pun baru belasan tahun saja.
"Baiklah jikalau begitu, beta akan perkenankan permintaan kamu. Pengawal, berikan pemuda ini sepersalinan pakaian. Dan kamu wahai anak muda, kita manusia ini, dimana-mana pun akan berpijak di bumi Allah. Anggaplah daerah ini laksana rumah kamu sendiri.
"Baik, tuanku!" Jawab Si Tanggang penuh bersemangat, satu-satunya patah perkataan yang diucapkannya dalam istana sultan hari itu.


     Maka bermulalah kehidupan Si Tanggang menuntut ilmu. Diperkenalkan dahulu dia dengan aksara jawi dan arab agar dia tahu membaca kitab. Sesudah mahirnya mengaji kitab, diajarkan pula ilmu agama agar mahmudah suci hatinya, sentiasa dekat dengan Islam. Kemudian barulah dibawa Si Tanggang belayar, sambil diajar membaca langit dan meramal cuaca agar lengkap ilmunya sebagai seorang nakhoda.

      Si Tanggang sungguh bersyukur dengan kurniaan Tuhan padanya.Sudah lima tahun dia di perantauan. Hidupnya berbeza benar kini. Kalau dulu,panjat pokok kelapa sajalah kerjanya. Andai tiada buah pergilah dia menenun atau menolong abangnya menjala ikan. Kini, sudah tahu dia bertutur bahasa arab. Cukup mahir juga dia membaca langit. Pernah sekali dia diuji oleh nakhoda pada suatu petang:

"Sekarang beritahu aku Tanggang, apa yang kau dapat beritahu aku dari langit ini."

    Didongaknya melihat langit sekeliling buat seketika. Dilihatnya matahari tidak kelihatan. Awan pula separa gelap. Dirasanya kelembapan angin yang bertiup. Dikira olehnya kadar cepatnya turun naik kapal. Dikiranya juga tarikh hari itu dan juga cuaca hari sebelumnya. Lalu berkata Tanggang sambil tersenyum:

"Lebih kurang suku jam lagi hujanlah ni."

     Nakhoda Awang membalikkan jam pasir suku jamnya. Tidak disangka-sangka, sedang butir-butir pasir yang terakhir mengalir turun, setitik demi setitik air hujan jatuh menimpa dahi panglima Awang.Dia tersenyum bangga. Begitu juga Si Tanggang. Si Tanggang ingin masuk berlindung, tetapi tangannya dipegang oleh nakhoda yang tidak mahu dia berganjak.

"Biarlah tubuhmu basah disirami hujan ini wahai Tanggang. Inilah bukti kejayaanmu dan susah payahmu menimba ilmu. Tidak sia-sia aku mengajarkan kau selama ini."
"Tidak, saya hanya belajar. nakhodalah yang banyak menabur budi dan bersusah payah" kata Si Tanggang perlahan.

 Minat Si Tanggang menuntut ilmu dan belajar perkara baru cukup mengagumkan nakhoda Awang. "Pemuda ini sungguh luar biasa tekadnya, sesuai benar menjadi penggantiku nanti," terdetik hatinya tatkala dia merenung mata Si Tanggang.

Maka berdirilah mereka di kemudi bahtera, lalu kuyuplah pakaian kedua-duanya, sehinggalah bahtera kembali berlabuh di persisiran semula. Sekembalinya mereka di istana, mereka disambut oleh Puteri Aishah, anakanda sultan Ridhuan al-Usaimi. Manis sungguh wajahnya.  Kulitnya licin, sejuk mata memandang. Dua-dua sudah besar sekarang. Umur pun padan jua. Masing-masing menjaga adab bertutur. Namun, nakhoda Awang sudah dapat membaca isi hati masing-masing. Dia mendiamkan diri saja, maklumlah orang muda bercinta jangan dikacau.

     Si Tanggang sudah mendapat kepercayaan nakhoda untuk mengemudi bahtera milik sultan.Namun, Si Tanggang terasa tanggungjawabnya sedikit tawar. Nakhoda Awang sudah tidak larat lagi. Dia hanya mampu memerhatikan dari jauh saja. Pada suatu hari, nakhoda sudah terlantar di kamarnya di istana. Dia sudah tidak terdaya lagi meneruskan hidup. Umurnya sudah hampir tiga suku abad. Nafasnya terhenti-henti. Sedar akan riwayatnya yang tidak lama itu, dia memanggil Si Tanggang ke pangkuannya.

 "Wahai Tanggang, sungguh aku lihat kau cukup sempurna sekarang. Namun, sebelum aku pergi, aku mahu kau tahu satu perkara. Kukira, sudah tiba waktunya sekarang.
"Apakah ia rahsia yang sangat penting, nakhoda? Sungguh saya tidak akan beritahu barang siapa pun tentang ini. Saya berjanji demi Allah"
"Bukan Tanggang. Ingatkah kau waktu mula-mula kita bertemu dahulu. Aku katakan masa lampau ku lebih gelap dan memedihkan dari sekarang."
"Ya, waktu itu kita berdua ada di atas kapal"

"Sebenarnya, kedua-dua ibu bapaku telah dibunuh oleh sultan Kamal al-Janmisi kerana dituduh tidak melangsaikan cukai. Dengan izin Allah, aku dapat melarikan diri ke sini. Aku bertekad untuk membalas dendam untuk ibu bapaku, lalu aku mengkaji jalan laut ke sana dan meracun sumber air mereka. Sultan jatuh sakit dan akhirnya mangkat, lalu takhtanya diambil oleh puteranya.

"Walaupun tiada bukti, pemerintah mereka tahu hanya aku, seorang nakhoda yang tahu selok-belok lautan di sana. Hingga ke hari ini, mereka masih menyimpan dendam terhadap aku. Jadi, berjanjilah padaku Tanggang, bahawa kau tidak akan menjejakkan kaki ke sana semula, balik ke kampung Tanjung Kelana. Andai sultan tahu kau anak murid aku, pasti kau akan dibunuh jika ke sana, meskipun kampungmu bersempadan dengan wilayahnya.. Demi nyawaku, berjanjilah padaku Tanggang. Ce..cepat.."


     Si Tanggang tersepit. Mana mungkin dia tidak akan menjejakkan kakinya semula ke tanah airnya yang sudah lama ditinggalkan. Lagipun, dia sudah berjanji pada keluarganya bahawa dia akan pulang semula suatu hari nanti. Ingatan itu tiba-tiba menghambatnya, namun dia tidak mahu pula mengecewakan gurunya ini yang telah banyak berjasa. Dia semakin terdesak. Keputusan terpaksa dibuat.

"Ba....baiklah nakhoda. Saya....saya janji.." katanya serba salah.
"Terima kasih Tanggang" Lalu, nakhoda pun menghembuskan nafas terakhirnya.

Suasana kamar itu cukum suram. Jam pasir di tepi nakhoda habis mengalir, seolah-olah meramalkan waktu kematiannya. Puteri Aishah cuba menyekat tangisannya di luar kamar.  Si Tanggang pula dirundung perasaan bersalah; kini dia terbeban antara dua tanggungjawab.  ( To be continued......)





1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...